Citra Ain

Cerpen: Cinta Menuju Sakinah.

Langit cerah seperti mengerti. Cuaca baik, tidak panas juga tidak mendung. Sedang-sedang sahaja,nyaman. Kompang membingit, senyum meleret si bunda ayahanda. Mana tidaknya, anak gadis tunggal, anak paling bungsu juga terpaling akhir mengikat tali kasih ini adalah paling susah dilepaskan. Paling disayang.


Anak gadis. Perempuan seorang. Selepas ini si bunda sudah tidak berteman lagi. Jauh di hati bundanya, ada rasa kecil menghiris-hiris namun lekas disulam bahagia kembali, mengenangkan anak perempuannya seorang itu dipinang oleh orang yang baik-baik. Langsai sudah amanahnya sebagai seorang ibubapa, menjaga mendidik dan mencarikan pasangan yang terdidik akhlaknya menjadi imam di setiap solat anakanda tercinta. Di sudut sepi hatinya juga,berharap si anak akan taat seperti moleknya asuhan agama yang tercurah buatnya.


Majlis ini tidak besar. Cukup saudara mara terdekat dari kedua belah pihak, jiran-jiran sekeliling, sahabiah rapat si isteri juga beberapa teman seperjuangan si suami ketika belajar di Jordan dahulu. Wajah anakandanya dikejauhan tampak bersih dengan solekan tipis. Kemerah-merahan bak delima. Semoga dia menjadi zaujah solehah buat suaminya,bisik si bunda.


--------------------


Bilik tidur itu hiasan ummi. Warna hijau lembut, katil bertiang empat dihiasi tabir telus berwarna krim. Di sisi katil, terdapat sejambak ros segar berwarna putih diletakkan bersebelahan dengan lilin aroma vanilla. Ummi cukup tahu kegemaran aku,bisik hati kecil Sakinah. Pandangan dilempar kepada susuk tubuh suaminya yang sedang bersolat maghrib. Segak,harum tubuhnya menggapai Sakinah yang berteleku dihujung katil.


Betapa asing rasa dijiwa kecilnya, seperti berduaan bersama lelaki ajnabi. Sakinah tidak kenal hati budi dia. Lelaki pilihan ummi dan abinya. Bertemu cuma sekali; pertama dan terakhir kali sebelum diijabkabulkan. Sakinah melempar pandangan keluar tingkap. Airmatanya jatuh perlahan. Dadanya sebak. Hatinya rasa terkurung, masih menduka. Kehilangan tunangan tercinta kerana kemalangan membuatkan hatinya patah rasa. Mungkin salah dia, menerima pinangan suaminya Affan sehingga akhirnya jadi begini. Dia rasa berdosa, hatinya seperti tidak redha!


"Assalamualaikum,isteri abang."


Suara itu begemersik di cuping telinganya. Menggetar rasa. Lembut dan penuh hati-hati. Sakinah pantas menyapu airmata. Tidak mahu mengecilkan hati suaminya. Walau apa pun, dia suami aku! Wajib untuk aku patuhi dan hormati setiap kata-katanya. Sakinah sekadar bermonolog dalam hati. Perlahan, wajahnya dipaling menatap anak mata lelaki halalnya. Wajah itu, bersih dan seperti menenangkan. Senyumannya, manis sambil menatap wajah Sakinah dengan penuh kasih sayang. Sakinah cuba mengukir senyum.


"Waalaikumussalam. Maaf,saya tak boleh sembahyang. Awak nak mandi? Saya siapkan baju?" Sakinah cuba menyesuaikan diri. Terasa canggung sekali pandangan ini, bahasa ini, tingkah lakunya. Affan masih tidak mematikan senyum.


"Tak mengapa. Sakinah....redha bersama dengan abang? Bahagia bergelar isteri abang?"


Sakinah senyap. Wajahnya berubah. Hatinya meratap tiba-tiba. Panas wajahnya terasa. Dia seakan mati kata.


"Saya....terima apa adanya. Ini jodoh saya, saya percaya ketentuan tuhan. Insyaallah,saya cuba untuk jadi yang terbaik untuk awak." Bergulir ayat-ayat itu dari bibir Sakinah walau hatinya keras menidakkan.


Affan perlahan menggenggam jemari halus isterinya. Kecintaannya.


"Abang faham isi hati Sakinah. Abang tahu semuanya. Abang tak paksa Kina. Abang akan bagi Kina masa. Tapi, abang minta Kina bagi peluang untuk abang mencintai Kina. Kina isteri abang. Sejak abang lafazkan akad menerima Kina sebagai isteri, insyaallah tanggungjawab itulah yang akan abang pikul hingga akhir nyawa abang. Abang sayang Kina kerana Allah. Masjid yang terbina ini, abang harap akan diberkati dan diredhai sampai bila-bila."


Wajah Sakinah panas. Sentuhan itu,benar-benar membawa satu getaran yang tidak pernah dirasainya sebelum ini. Sesuatu yang ikhlas pada derianya. Seperti kasih sayang yang mendalam, menepis rasa janggal dan kerisauan andai ianya bagai disentuh lelaki ajnabi. Seperti satu tamparan menghapus khayalnya, terdetik di nurani Sakinah bahawa mulai saat itu teralih syurganya dibawah telapak kaki lelaki itu. Hakikat yang amat payah diterima Sakinah, dia masih didalam ketidakpercayaan dan tidak biasa untuk menjadi isteri kepada seorang yang tidak dicintainya. Allah,bukakanlah hatiku!


----------


Hari cerah. Angin sepoi-sepoi bahasa menampar kulit membawa nyaman. Hari itu genap seminggu mereka di kampung, meluang masa bersama keluarga setelah selesainya walimatul urus. Hari itu juga, hari pasangan pengantin baru itu berangkat ke rumah kelamin mereka, yang baru dibeli Affan di Shah Alam. Sakinah dipagut rasa sedih, sekian lama dia disisi ummi dan abi. Tidak pernah terbayang bahawa waktunya untuk mengikut suami telah tiba secepat ini. Airmata bercucuran sedari pagi.


"Kina tak sampai hati tinggal ummi abi sendiri" ucap Sakinah,diselang esak tangisnya. Ummu Raudhah menggeleng kepala. Dia kenal benar dengan perangai Sakinah. Sebagai anak bongsu,dia paling rapat dan paling manja,tapi dia seorang wanita kuat. Sedihnya cuma sementara,dia yakin Sakinah boleh menempuhi semua ini.


"Kina,tempat isteri disisi suami. Kina jangan risau ummi abi disini,yang penting Kina kena taat pada Affan. Syurga Kina bukan dengan ummi lagi.." Ummu Raudhah memujuk.


"Kina..sudah tu nak. Dah tiba masa nak bertolak. Nanti lambat sampai pula. Mari,kita ke depan. Beg semua Affan dah masukkan dalam kereta." Suara abinya yang entah bila muncul memecah sunyi. Dengan berat hati,Sakinah melangkah ke depan. Wajah suaminya yang menanti tampak tenang dan memahami.


Digapai tangan abinya untuk bersalam tanda perpisahan. Dipelukan kejab si ayahanda, berderai lagi airmata mendengar bisik nasihat si ayah. Bila dengan bonda apatah lagi,terasa berat sekali hatinya meninggalkan ummi sendirian. Sekali lagi hati Sakinah akur,itulah hidupnya yang baru. Itulah jiwanya yang baru. Yang mana tidak kira suka atau tidak,dirinya harus menerima.


Perjalanan selama empat jam dari Kuantan itu terasa kosong. Hatinya menerawang entah kemana. Sepanjang perjalanan itu juga,tangan Affan sentiasa menggenggam erat jemarinya,seakan mahu memujuk jiwa laranya secara halus. Sakinah membiarkan,kerana jujur hatinya rasa dibalut tenang dan selamat di dalam genggam tangan itu. Allahurabbi,tabahkan hati aku. Lembutkan aku menerima dia sebagai imamku. Dia tidak bersalah,dia ikhlas terhadapku. Menyayangi aku apa adanya. Bukakanlah hatiku menjadi isterinya dengan rela! Sakinah bermonolog sendiri,sambil memejam mata merehatkan kepala.


----------------


Azan berkumandang kuat dari masjid di hadapan rumah. Sakinah menutup langsir rumah yang sedari tadi terbuka luas. Dia suka rumah itu. Pada hematnya,Affan sangat pandai memilih; dari lokasinya,kawasan rumahnya dan kejiranan - semuanya sempurna. Walau hatinya masih galau,dia sudah dapat membiasakan diri berada bersama Affan. Sebetulnya mereka jarang berbual bicara. Bertemu dimeja makan untuk sarapan, menyambut pulang suami diwaktu petang seterusnya berjemaah pada solat malam. Affan baik budinya, segala yang dilakukan,Sakinahlah yang diletak pertama. Sakinah sedar itu,tapi hatinya masih berbelah bagi. Ditempat tidur juga,hatinya tidak ikhlas. Namun Affan seakan faham, sejak diijabkabulkan, tidak pernah dia menyentuh Sakinah dengan memaksa.


"Abang tak mahu Sakinah bersedih. Abang beri masa pada Kina untuk Kina sesuaikan dengan keadaan. Abang ada disini,disisi Kina sentiasa. Bilamana Kina perlukan teman bicara,bahu untuk menangis..abanglah orangnya. Abang tak akan suruh Kina buat semuanya dengan paksaan. Sakinah isteri abang,bukan alat untuk abang gunakan. Asalkan Kina tahu menjaga diri,jaga rumahtangga kita,jaga airmuka keluarga,taat perintah Allah. Selebihnya,tuhan menentukan. Sakinah akan sentiasa dalam bingkisan doa abang."


Kata-kata Affan masih segar terulang-ulang dibenaknya. Lelaki itu terlalu baik. Hati Sakinah terusik. Jiwanya bagai terpaut dengan sikap Affan yang selalu berlembut bicara dengannya. Tanpa sedar,hari demi hari mereka sudah banyak berkomunikasi. Malahan Affan juga banyak bergurau. Tidak pernah terlintas di hati Sakinah, bahawa suaminya itu seorang yang kelakar juga.


Di dalam pekat malam, ketika Affan nyenyak diulit lena Sakinah bangun memohon keampunan didalam solatnya. Hatinya sudah tidak keruan,rasa berdosanya kian menggigit rasa. Dia bermuhasabah diri. Sebagai isteri,dia sedar dosanya terlalu banyak terhadap Affan. Airmata Sakinah murah didada sejadah. Doa demi doa dipanjatkan pada yang Esa. Sebelum tidur,seringkali wajah lembut Affan ditatap dalam. Lelaki ini..yang halal buatku. Suamiku. Imamku. Pelindung setiap duka dan sakitku. Penawar rasa pedihku. Syurgaku.


Dan malam itu,buat pertama kalinya dahi Affan dijadikan tempat kucupannya dijatuhkan.


----------

"Abang. Kina nak ikut abang pergi masjid. Boleh?" Sakinah meminta izin ketika melihat suaminya itu menyarungkan jubah untuk berjemaah di masjid. Sudah menjadi kebiasaan Affan,pada malam Jumaat sebegitu terutamanya; akan menghabiskan waktu maghrib dan isya' berjemaah di masjid diikuti dengan bacaan yaasin. Affan tertegun seketika. Pertama kali,perkataan 'abang' meluncur dari bibir si isteri buatnya. Ia mungkin kedengaran biasa, tapi Cuma Allah yang tahu betapa besarnya ertinya buat insan yang bernama Affan Firdaus ini. Airmata Affan seperti berlumba mahu keluar,namun ditahan.


"Boleh. Abang lagi suka. Bersiaplah,abang tunggu." Affan membalas lembut. Ketika susuk tubuh Sakinah hilang dibalik dinding, Affan memejamkan mata. Membiarkan airmata lelakinya jatuh membasah di jubah putih bersih. Seperti bersihnya syukur buat Ilahi. Saat ini,saat yang paling ditunggu. Memiliki isteri secara seluruhnya.


Kerana, hanya tuhan sahaja yang mengerti betapa lama waktunya untuk membuka hati wanita kecintaannya itu. Sejak dari awal perkahwinan segala jerih hanya dia yang merasa. Namun Affan redha, sebagai hamba dia menerima mungkin ini dugaannya, pasti ada hikmahnya. Untuk menolak jodoh yang diatur kedua orang tuanya, tidak sama sekali. Affan yakin, pilihan ibunya adalah yang terbaik. Nur Sakinah, seperti namanya yang membawa maksud ‘ketenteraman’. Hatinya sudah terpaut tenang ketika pertama kali pandangannya dijatuhkan pada wanita solehah itu. Dibesarkan sempurna oleh ibu bapanya dengan penuh kasih sayang juga pegangan agama yang cukup.


“Mak suka pada Sakinah. Cuma….Sakinah tu, masih bersedih atas kehilangan tunangnya. Kesian mak tengok dia. Dari kecil,dia tu bukannya macam gadis lain yang suka berkeliaran senang dengan lelaki-lelaki sebarangan. Yang itu pun, teman seuniversiti ketika di Cairo dulu. Sayang,jodoh tak kesampaian.” Masih terngiang dicuping Affan, ketika ibunya berbasa-basi mahu menjodohkan dia dengan Sakinah. Affan cuma diam mendengar dimeja makan.


“Jodoh itu, ketentuan tuhan. Kalau mak rasa sesuai dia untuk saya, maka sesuailah. Affan percaya pilihan mak ayah. Baik untuk mak, baik jugalah untuk saya. Selagi redha mak ada, itu sudah cukup untuk memberi bahagia. Insyaallah.” Affan menjawab tenang. Hatinya faham dan mengerti perjalanan rumahtangganya mungkin tidak akan semudah yang lain. Namun Affan redha, percayanya pada takdir dan hikmah melampaui segalanya. Jika benar Sakinah akan menjadi isterinya, maka kasih sayangnya akan dicurah tidak bertepi, tidak akan mati. Seperti jodoh yang sudah menjadi ketentuan dari lomahfuz.


Sepanjang perkahwinan, walau jelas janggalnya Sakinah itu,Affan cuba untuk memahami. Cuba untuk menerima baik buruk isterinya. Walau kadangkala Sakinah dingin dan tidak bertegur sapa ketika datang sedihnya. Apa yang mampu, Affan akan cuba menyelami sedih Sakinah. Bukan mudah untuk menghadapi keadaan itu, apatah lagi isteri yang dinikahi bersedih atas kehilangan lelaki lain dalam hidupnya. Yang benar dicintainya,bukan dia. Namun Affan menguatkan dirinya. Pada Allah doanya dipanjatkan,dimohonkan. Supaya lembut hati isterinya. Supaya dia menjadi bidadari terindah yang menantinya di syurga abadi.


“Abang, jom?” Sakinah yang sudah siap bertelekung merah jambu muncul disebelah,mematikan lamunan panjangnya. Bagai cinta pandang pertama, hati Affan mekar dengan kasih sayang tatkala memandang wajah manis isterinya.


Ketika berjalan beriringan,perlahan jemari Sakinah digapai,dipimpin penuh cinta. Perlahan,Affan berdehem.


"Kina......."

"Hmm?" Sakinah menoleh.

"Terima kasih. Sebab terima abang. Terima kasih,sebab sanggup bersama abang." Affan berkata,tidak menoleh. Tapi senyumannya tetap terukir bahagia. Sakinah senyum nipis. Perasaan malunya masih menebal. Hatinya masih belajar.

"Kina minta maaf,atas perilaku Kina terhadap abang selama ni..Kina rasa,Kina patut berterima kasih pada abang,kerana sabar dengan Kina." Sakinah membalas ringkas sebelum masing-masing berpisah dipintu masjid. Affan memandang Sakinah tepat ke anak mata,merenung sedalam mungkin dan memegang bahu kecilnya.


"Dosa isteri abang,sentiasa abang ampunkan. Kelmarin,hari ini hatta esok sekalipun. Akan dan sentiasa abang ampunkan. Abang nak isteri abang jadi salah seorang penghuni syurga kelak. Mana mungkin abang tak ampunkan.."


Sakinah kematian kata. Dadanya seperti mahu pecah. Sebaknya menghambat. Hanya airmata bertakung menunggu masa untuk berjatuhan. Satu persatu sikap dinginnya terhadap suami tertayang jelas. Dosanya rasa menghimpit. Tangan suaminya digapai lalu dicium. Dengan penuh rasa kasih dan ikhlas, lelaki itu adalah suaminya yang halal.


“Terima kasih kerana mengampunkan Kina, terima kasih kerana bersabar dengan Kina. Kina ikhlas. Kina redha. Abang suami Kina. Jodoh Kina. Allah berikan yang terbaik buat Kina. Terima kasih juga kerana abang sanggup menjadi suami Kina disaat Kina begini..” Sakinah sukar membendung rasa. Perlahan Affan mengusap ubun kepala isterinya. Senyum.


“Sudah,jangan menangis begini. Abang sentiasa maafkan isteri abang. Abang doakan yang baik-baik. Semoga rumahtangga kita bahagia sampai bila-bila. Buangkan kesedihan Kina,rawat dengan zikrullah. Abang ada. Abang sentiasa ada. Bersama Kina….dan insyaallah dengan anak-anak kita..”


Sakinah mendongak,hatinya bahagia. Senyuman terlakar diwajah Sakinah, tatkala dahinya dikucup lembut,merasa hangatnya kasih dari bibir insan bernama suami. Ya tuhan, tiada apa yang dapat diungkap dengan kata-kata melainkan rasa syukur semata. Dia sudah bersedia, janji mereka termeterai dipintu rumah Allah. Diberi peluang merasa kehidupan baru,nyawa baru. Seperti terdengar bisikan syurga memanggil syahdu. Semoga Allah meredhai perjalanan kita hingga ke syurga, suamiku.


--------


“Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan).” (Surah al-Qamar ayat 49)