Berlari-lari
Otak dan akal.
Akal dan otak.
Dia mempunyai kedua-dua otak dan akal.
Tetapi sekarang kepalanya terasa ringan. Umpama belon.
Dia mengetuk kepalanya. Dia cuba baring. Dia cuba ketawa sekuat hati. Bak kata seorang polan, ketawa itu ubat.
Tetapi tidak berjaya. Kepalanya masih ringan.
Di dalam kepalanya, di dalam mindanya, dia sedang berlari lari. Merentas pembuluh pembuluh darah, sel sel otak.
Berlari lari pantas, langsung tidak menoleh kebelakang.
Pantas bagaimanapun dia berlari, langkahnya tersekat sekat oleh beribu jenis halangan.
Halangan yang mencabar. Muncul dari atas, bawah, kiri, kanan, dan juga belakangnya.
Berpeluh peluh dia mengelak halangan yang datang bak peluru. Bermandi peluh sebenarnya. Lencun.
Tetapi dia masih berlari, pantas. Teramat pantas, kakinya tidak pula terasa penat, nafasnya pula tidak tercungap cungap. Sempat dia terasa hairan, tapi dia masih terus berlari, seolah olah dikejar oleh sesuatu.
Mungkin 'sesuatu' itu masa silamnya? Mungkin juga masa hadapannya? Atau mungkin juga hanya makhluk makhluk imaginasinya?
Yang pasti, dia sedang berlari. Kenapa? Dia tidak pasti.
Setiap hari dia berlari, di dalam minda, di dalam fikirannya. Manusia sekeliling memanggilnya 'Mat Jenin', bersempena lelaki yang tiba tiba menjadi terkenal hanya kerana dia suka berangan. Alasannya, dia selalu termenung, berangan angan.
Hakikatnya, apa yang sedang dia alami lagi jauh, lebih dahsyat kalau hendak diumpamakan dengan berangan angan.
Faham atau tidak? Dia sedang berlari. BERLARI. Hanya berlari.
Berlari merentas ilmu fizik, biologi, matematik, arkeologi, sejarah, sastera, seni, peradaban, falsafah, dan beribu macam ilmu yang dia kumpul selama berpuluh tahun hidup di muka bumi.
Tetapi dia masih terasa kosong.
Itu mereka samakan dengan 'berangan'?
Ah. Manusia manusia bodoh tidak akan pernah faham.